Madrasah Pondok Lama
(Gambar dari Googlestreetview)
Madrasah Pondok Lama, itulah nama yang saya jumpa ketika saya layari Googlemaps untuk melihat keadaan sekarang Balaisah (madrasah/surau) Kampung Dalam Pondok Lama. Zaman kanak-kanak saya dulu, ia hanya bertaraf surau, atau "balaisah" (balai saf?) dalam bahsa Kelantan :)
Dulu balaisah ini hanya sebuah binaan kayu, yang bersambung dengan rumah tuan pondok ini, iaitu Tok Guru Nik Od (Nik Daud). Banyak jasa Tok Guru, keluarga Tok Guru, balaisah ini dan pengunjung-pengunjung tetapnya kepada saya.
Sepanjang "formative years" (tahun-tahun pembentukan peribadi) saya, balaisah ini adalah tempat kunjungan tetap kami. Biasanya setiap petang, sebelum maghrib, mak akan heret saya untuk datang ke balaisah ini untuk solat magrib dan isyak berjemaah. Saya sebut "heret" kerana banyak kali juga saya malas untuk pergi, tetapi mak memaksa saya pergi. Nak tak nak, saya terpaksa ikut, sebab saya takut duduk di rumah seorang diri (abah masih bekerja di Singapura).
Di zaman itu, rumah-rumah kami tiada bekalan elektrik, jadi semua rumah hanya berbekalkan pelita sahaja, dan laluan ke balaisah melalui kawasan alur (rendah dan kadang-kadang lecak/berselut) juga gelap. Selepas solat isyak, kami dua beranak akan pulang dengan berbekalkan lampu picit kecil. Tidak ada rumah di antara rumah kami dengan balaisah (jarak dalam 250m, ukur di googlemaps) , kecuali rumah Makcik Mah (tok guru mengaji saya), yang merupakan anak sulung Tok Guru dan satu atau dua pondok. Pondok yang terdapat di sekitar balaisah itu adalah milik nenek-nenek tua yang memang tinggal di situ kerana ingin belajar agama atau pelajar-pelajar lelaki yang berasal dari luar kawasan Tanah Merah tapi bersekolah di Tanah Merah.
Selain daripada nenek-nenek yang tinggal di pondok-pondok itu, kami dua beranak pun banyak belajar agama di balaisah itu. Tok Guru sentiasa "mengajar" selepas wirik maghrib, sementara menantikan waktu isyak. Banyak perkara feqah dan tauhid yang saya belajar di sini. Apabila belajar Agama di sekolah, terutamanya dalam bahagian feqah, saya rasakan macam ulangkaji sahaja, kerana saya sudah banyak mendengarnya daripada Tok Guru.
Di balaisah ini jugak lah saya belajar solat terawih dan witir. Boleh dikatakan bahawa saya ketika itu termasuk di kalangan kanak-kanak yang tidak berapa faham tentang solat terawih itu. Kami buat kerana mengikut orang dewasa. Kami nakal dan sering membuat bising, kerana waktu terawih ini memang lebih ramai rakan-rakan yang datang solat di balaisah, lebih ramai daripada hari-hari biasa, sseakan-akan waktu "berpesta". Apabila kami nak lebih serius sikit dalam solat kami, akan ada kawan yang mengusik kami. Nak habiskan 20 rakaat tu bukan sekejap! Saya masih ingat telekung saya dan telekung kawan yang solat di sebelah diikat oleh kawan lain yang tidak solat, jadi apabila kami sujud, salah sorang daripada kami akan sujud lebih awal, dan seorang lagi akan tersungkur!! Selepas itu kami sama2 ketawa dan solat kami terhenti. Saya seorang "pelajar" yang cekap. Selepas itu, di malam lain, sayapulak akan buat perkara yang sama kepada rakan yang mengacau kami itu.
Kami juga pernah mengusik jemaah lelaki (baya kami). Jemaah lelaki dan perempuan hanya dipisahkan dengan sehelai tabir sahaja. Jemaah dewasa akan berada di hadapan. Jemaah perempuan di sebelah kiri Imam dan jemaah lelaki di belakang Imam, di sebelah kanan. Jemaah kanak-kanak tentunya di saf belakang. Lampu gasolin yang dipasang di surau digantung disebelah jemaah lelaki, jadi di bahagian jemaah perempuan agak gelap. Apabila kami ingin berbincang sesuatu, atau menunjukkan sesuatu kepada rakan kami, kami akan selak sedikit kain tabir/tirai itu, untuk mendapat cahaya lampu. Sudah tentu jemaah lelaki yang sedang solat akan dapat melihat sama apa yang kami sedang tengok dan bincangkan, dan sudah tentu solatnya terganggu!
Balaisah ini juga sering mengadakan "ceramah agama" di pagi Jumaat. Saya sering mengikut mak, makcik dan sepupu saya sama-sama pergi mendengar ceramah agama itu. Makcik saya (dan ramai lagi kaun wanita) lebih suka duduk di luar madrasah daripada naik ke atas. Ini ialah kerana, seperti makcik saya yang membawa cucu, mereka juga mempunyai kanak-kanak bersama-sama mereka, jadi apabila duduk di luar, kanak-kanak boleh bermain kejar-kejar, atau bercakap, tanpa banyak mengganggu penceramah di dalam balaisah. Juga, bagi kaum wanita yang keuzuran, mereka tentunya lebih selesa duduk di luar. Biasanya beberapa hari sebelum tiba harinya, kami akan dimaklumkan siapa penceeramah yang akan hadir. Antara penceramah yang popular waktu itu ialah Ustaz Hashim Yahya (dari Nilam Puri) dan Tok Guru Nik Aziz .
Selain daripada itu, saya yang ketika itu suka berkawan dengan Kak Pah dan Kak Yah (anak Makcik Mah), sering mengikut mereka ke rumah nenek dan atok mereka, yang bersambung dengan balaisah ini. Ada satu kali tu, saya berada di sana apabila masuk waktu asar, dan mereka mengajak saya solat bersama-sama di surau. Itu lah kali pertama saya solat asar berjemaah, dan saya tidak tahu bahawa imam tidak membaca al Fatihah dan surah selepasnya secara kuat (seperti solat magrib, subuh dan isyak). Saya menunggu lama untuk imam membaca Al-Fatihah. Selepas beberapa waktu, saya jadi cuak, dan saya membaca fatihah sendiri. Selepas solat baru saya tanya dan mereka beritahu saya yang untuk solat zuhur dan asar memang tidak dibaca dengan suara yang kuat!!
Mak memang suka solat berjemaah di balaisah. Kadang-kadang dia ajak saya untuk pergi solat subuh di sana. Sebagai seorang kanak-kanak yang kuat tidur, saya kuat membantah. Banyak kali jugak lah mak pergi balaisah seorang, dan bila balik baru dia kejutkan saya untuk solat subuh.
Apabila waktu sekolah, saya selalu letih selepas balik dari sekolah, dan mak akan tetap mengajak saya ke balaisah untuk solat maghrib dan isyak. Saya ingat ada suatu waktu tu (masa awal-awal), saya mogok dan tidak mahu solat. Ketika itu saya berumur 9 tahun. Saya ikut mak ke balaisah, tapi saya akan duduk menyandar di dinding di belakang saf muslimat. Mak saya malu sangat waktu itu. Ramai kanak-kanak lain yang jauh lebih muda daripada saya yang ikut solat, walaupun masih tidak tahu bacaan dalam solat. Saya sudah tahu bacaan solat tapi memang tidak mau solat bersama. Saya sanggup tunggu balik ke rumah, baru saya solat!
Satu ketika itu, ketika Tok Guru melintasi kawasan muslimat (dari bahagian rumahnya, untuk ke kawasan muslimin), mak mengadu kepada Tok Guru. Mak kata lebih kurang macam ni "Tengok ni Tok Guru, budak ni degil, tak mau solat. Bukan dia tak reti." Tok Guru hanya tersenyum, tidak memarahi saya pun. Sebaliknya dia kata "jangan paksa, nanti dia akan solat lah tu". Dia senyum kepada saya dan menyuruh saya belajar bersungguh-sungguh. Kemudian dia kata "Nanti mek besar, mek gi ngaji di Cairo deh? Lepas tu jadi ustazah". Saya yang tiba-tiba rasa malu, hanya menganggup-anggukkan kepala sahaja. Saya tak tau pun Cairo tu kat mana. Masya-Allah, sampai sekarang saya ingat ungkapan kata-kata Tok Guru itu. Masin jugak mulut Tok Guru, kerana, walaupun saya tidak ke Cairo (masih belum sampai ke Cairo) saya akhirnya menjadi guru juga, hehehe....
(Saya akan tulis blog lain pasal Tok Guru Nik Daud, yang rupa-rupanya tergolong di kalangan 100 Ulama Terkemuka Kelantan)
Comments
Post a Comment