Aktiviti Cuti Sekolah

Di tahun 1970, hari-hari persekolahan dibahagi kepada 3 penggal, di mana setiap penggal mempunyai 15 minggu. Di akhir setiap penggal 1 dan 2 akan disusuli dengan 2 minggu cuti sekolah, Untuk cuti selepas penggal 3, ia dipanggil cuti akhir tahun dan ianya selama 7 minggu!! Lama tu, 7 minggu!! Apabila sekolah buka semula di awal Januari tahun berikutnya, boleh dilihat perbezaan terutamanya dari segi saiz, di kalangan rakan-rakan!

Zaman dulu berapa ramai sangat lah keluarga yang mampu bercuti ke luar negeri, luar negara tak payah sebut lah. Saya ingat lagi, ada kawan-kawan yang memberitahu kami mereka dan keluarga pergi berkelah di PCB atau Pantai Cinta Berahi (kini Pantai Cahaya Bulan). Ada pulak yang pergi ke Pantai Semerak, Pantai Irama dan Pantai Bisikan Bayu, yang nama-namanya sahaja yang saya kenal.

Bagi kami yang lain ni, waktu cuti sekolah ialah waktu "merdeka", kami bebas untuk beramai-ramai merayau-rayau di sekitar kampung kami. Kalau sekadar melangkau satu atau dua kampung, itu perkara biasa. Kalau kebetulan semasa cuti sekolah itu musim buah, kami akan mengutip buah kemunting yang terdapat banyak di kawasan semak di kampung kami. Pokok kemunting yang dulu merupakan semak, kini amat susah untuk dicari! Sekali sekala ada terjumpa dijual anak pokoknya di pasar tani.

Waktu cuti sekolah juga lah kami akan rajin pergi mengaji - 2 kali sehari, iaitu sebelah pagi dan sebelah tengah hari. Bukan apa.... Itu lah salah satu cara untuk bertemu dengan rakan-rakan!

Selain daripada itu, cuti bagi saya bermakna mak akan minta saya bantu mak menebas semak kemunting sekitar rumah kami, untuk mendapatkan ranting kemunting, untuk dibuat kayu api. Zaman tu rata-rata semua rumah menggunakan dapur kayu api. Arwah mak ada 1 set dapur minyak tanah cap Butterfly tapi hanya digunakan apabila perlu - ketika masak sesuatu yang takut cepat hangit, atau ketika kami kekurangan kayu api.



Itu rupa dapur minyak tanah cap Butterfly. Gambar saya ambik daripada blog

http://koleksimalayalama.blogspot.com/2013/03/koleksi-antik-lama.html

Apabila saya sudah pandai mengayuh basikal, maka panjang lah langkah saya. Saya dan rakan-rakan akan berbasikal ke rumah rakan yang lain. Waktu itu trafik tidak sesibuk sekarang, dan kejadian jenayah juga jarang kedengaran. Paling jauh saya pernah berbasikal ialh dari rumah saya ke Kg Batu Hitam, iaitu hampir 4km jaraknya! Bayangkan kanak-kanak perempuan berumur 10-12 tahun berbasikal sejauh itu!! Sekarang ini saya yakin tiada ibu atau bapa yang benarkan anak mereka semuda itu untuk berbasikal merentasi pekan Tanah Meerah!


Comments

Popular posts from this blog

Pasar Tanah Merah

Madrasah Pondok Lama

Putu Halba (& Orang Kelantan)