Masjid Tanah Merah

Di awal 1970an, Masjid Tanah Merah (Masjid Ismail Petra) merupakan salah satu bangunan yang tersergam indah di tengah-tengah bandar Tanah Merah. Oleh kerana tidak banyak lagi rumah kedai batu, maka bangunan masjid ini antara ikon Tanah Merah ketika itu.

Imam masjid tersebut ialah Ustaz Haji Othman, suami kepada tok guru mengaji saya, Mak Cik Mah. "Ustaz Haji" adalah panggilan yang kami biasa gunakan untuk beliau. Beliau juga merupakan Guru Besar Sekolah Agama Al-Ihsan, yang terletsk tidak jauh dari rumah saya. Beliau juga adalah menantu Tok Guru Nik Ork (Nik Daud).

Pada 1972, saya mendapat hadiah sebuah "portable record player", iaitu pemain piring hitam, daripada abah saya, kerana mendapat no.1 dalam peperiksaan. Bersama pemain piring hitam itu, abah juga belikan saya piring-piring hitam berikut:

1. Rahimah Rahim
2. S Roha & S Ahmad
3. Sanisah Huri

Untuk mak, abah belikan piring-piring hitam mengaji, iaitu 2 EP bacaan Hajjah Rogayah Sulong (qariah dari Terengganu) dan LP Ustaz Ismail Hashim.

(Kemudian koleksi saya bertambah dengan LP "Akhir Sebuah Impian" , "Pyar ke Mausum", dan beberapa EP dan LP yang saya dah lupa)


Apabila ada majlis tertentu, Masjid Tanah Merah akan mainkan di sistem siaraya-nya (penbesar suara) bacaan-bacaan qari dan qariah melalui piring hitam koleksi masjid. Ini zaman sebelum ada lagi keset (cassette tape), jadi piring hitam je yang digunakan. Saya perhatikan masjid asyik dok mainkan bacaan yang sama (tak ingat oleh siapa).

Saya sebut kepada Makcik Mah dan Ustaz Haji yang kami ada EP bacaan Hajjah Rogayah Sulong dan Ustaz Ismail Hashim.  Ustaz Haji tanya, boleh pinjam ke? Saya balik tanya mak. Mak kata, boleh, apa salahnya.

Selepas itu, apabila Masjid Tanah Merah mainkan bacaan Al-Quran di pembesar suaranya, kami tumpang seronok, sdan sedikit rasa bangga, kerana piring-piring hitam kami pun digunakan :)



Comments

Popular posts from this blog

Pasar Tanah Merah

Madrasah Pondok Lama

Tanah Merah Kawasan Hitam