Merentas Desa SMDM

Pada awal tahun 1970an terdapat hanya sebuah sahaja sekolah menengah di bandar Tanah Merah, yang kami selalu sebut sebagai SMDM - Sekolah Menengah Dato Mahmud Paduka Raja.

Pada awal tahun, aktiviti yang ketara ialah latihan merentas desa, yang boleh dikatakan diadakan setiap hari, mengikut rumah. Di zaman itu, hanya 4 rumah sukan sahaja yang ada - hijau, merah, kuning dan biru. Jadi 4 daripada 5 hari persekolahan setiap minggu akan ada latihan merentas desa.



Pelajar-pelajar kelas pagi akan mengadakan latihan di waktu petang, manakala pelajar-pelajar sekolah petang pula di waktu pagi.

Antara laluan merentas desa mereka ialah di jalan di hadapan rumah saya. Ketika saya bersekolah petang, saya akan melihat pelajar-pelajar sekolah menengah yang berlatih latihan merentas desa di waktu pagi.

Suatu perkara yang saya rasa agak lucu ialah apabila mak melihat mereka melintas di hadapan rumah kami, dan mereka sudah mula berjalan, dan tidak lagi berlari, mak akan merasa kasihan kepada mereka. Pernah mak menawarkan mereka air sejuk untuk diminum!!! Saya tidak pasti ada atau tidak pelajar yang menerima pelawaan mak.

Sebagai seorang pelajar sekolah rendah, saya amat kagum melihat mereka berlari dan berjalan sebegitu jauh!! Saya rasakan agak seronok juga agaknya, kerana kakak-kaka yang tidak berlari kelihatan berjalan sambil berbual dengan rakan-rakan.

Tidak saya terfkir ketika itu bahawa saya akan tidak suka latihan merentas desa itu, apabila saya naik ke sekolah menengah, kerana setiap kali selepas latihan, kami akan terlalu penat, mengantuk dan tidak dapat siapkan kerja sekolah, walaupun menghadiri prep malam!!




Comments

Popular posts from this blog

Pasar Tanah Merah

Madrasah Pondok Lama

Tanah Merah Kawasan Hitam