Padang Merdeka Tanah Merah

Padang Merdeka ini lah tempat banyak aktiviti dijalankan. MSSD (Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah) adakan sukannya di sini, sambutan Hari Kebangsaan pun di sini, Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia pun di sini. Konsert terbuka pun dibuat di sini!!

Seingat saya, apabila ada sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, atau pun Sambutan Hari Kana-kanak Sedunia, kami pelajar-pelajar sekolah rendah sudah pasti akan dikerah untuk sama-sama berhimpun di padang ini. Bagi saya, seorang pelajar sekolah rendah, yang menarik minat saya ialah minuman dan makan percuma yang diedarkan kepada semua yang mengambil bahagian. Di zaman itu, air kotak seperti air teh bunga dan air soya, merupakan minuman "mewah", jadi memanglah seronok apabila diberi percuma.

Kalau ada artis-artis yang datang buat konsert, pun di sinilah konsert terbukanya. Apabila ada majlis di waktu malam, akan adalah tarikan-tarikan lain. Yang paling saya ingat ialah jualan jagung bakar dan pertunjukan wayang kulit. Bau semerbak jagung yang dibakar atas bara itu memang begitu mengancam dan tidak boleh tidak, mesti nak beli.

Beberapa hari sebelum malam persembahan, di sekitar pasar Tanah Merah orang akan hebohkan tentang majlis tersebut. Teringat saya kepada ungkapan "word of mouth", iaitu penyebaran berita melalui perbualan, dan itulah kaedah yang amat berkesan di waktu itu. Kami yang agak jauh dari Padang Merdeka akan berbincang sesama kami bagaimana cara untuk ke sana. Arwah mak saya tidak akan benarkan saya pergi sendirian. Biasanya kami bersetuju untuk bertemu sselepas maghrib di rumah salah sorang daripada kami. Kami akan kemudiannya berjalan bersama-sama ke arah pekan, untuk ke Padang Merdeka. Jaraknya dalam 1.5km. Sepanjang jalan kami akan lihat ramai lagi orang lain seperti kami, Sepanjang perjalanan itu, keseronokan sudah mula dirasai, seolah-olah "macam nak raya".

Ramai lah artis 1970an yang pernah sampai ke Padang Merdeka ini. Yang paling saya ingat ialah lagu "Hari ni dan Semalam" nyanyian J Mizan. Mungkin kawan-kawan saya akan dapat membantu saya mengingati siapa lagi artis 1970an yang pernah datang untuk buat peersembahan di Padang Merdekan ini!

Satu lagi persembahan yang besar di padang ini ialah persembahan Sarkis!! Pasukan sarkis ini akan "berkampung" di sini untuk beberapa ketika, seperti 2 minggu (atau mungkah 1 bulan?). Apabila ada sarkis, ramailah pengunjung dari sekitar Tanah Merah yang datang.

Pada 1974, ketika saya dalam darjah 6, sekolah saya yang hanya menumpang di bangunan Asrama Sek Men Dato Mahmud Paduka Raja, tidak mempunyai padang sendiri. Sukan tahunan sekolah kami pada tahun itu diadakan di Padang Merdeka ini. Saya masih ingat bagaimana saya dan rakan-rakan, walaupun tidak terlibat dalam acara sukan, tetap berpanasan dalam khemah kecil di padang ini sepanjang hari, kerana kami bertugas sebagai pembantu. Keseronokan hari sukan tetap dapat dirasai di sini :) .

Comments

Popular posts from this blog

Pasar Tanah Merah

Madrasah Pondok Lama

Putu Halba (& Orang Kelantan)