Panggung Arjuna

Pada tahun 1970an, terdapat sebuah sahaja panggung wayang di Tanah Merah - Panggung Arjuna. Masa tu yang saya tahu Arjuna ni nama anak jiran saya di Singapura. Tak tahu pulak Arjuna tu nama raja Hindu dalam hikayat Mahabharata.

Panggung ni tidak jauh dari Pasar Tanah Merah (semua bangunan di pekan letaknya berdekatan pasar, kecuali Pejabat Pos dan Pejabat Tanah). Oleh kerana panggung ini di anggap jauh dari bandar Kota Bharu, dan Kota Bharu pulak jauh dari Kuala Lumpur, filem-filem yang sampai untuk tayangan di panggung ini boleh lah dianggap "basi". Apa tidaknya, satu set filem tu mula-mula ditayangkan di Kuala Lumpur, lepas tu mungkin di Johor Bahru, Pulau Pinang, Seremban dan bandar-bandar lain di pantai barat, sebelum datang ke Kota Bharu. Puas ditayangkan di Kota Bharu baru lah agaknya dibawa ke Tanah Merah!! Hanya di akhir 1970an baru ada tayangan serentak di beberapa bandar besar (Kota Bharu tidak termasuk), jadi agaknya sebab ada lebih daripada satu set filem, cepat sikit lah filem-filem tu sampai ke Kota Bharu, dan Tanah Merah akan menyusul. Itu pun entah-entah ditayangkan di Pasir Mas dulu sebelum sampai ke Tanah Merah, hehehe....

Mak memang tidak galakkan saya menonton di panggung wayang. Maklumlah kami ni kan duduk dekat dengan kawsan pondok, tidak berapa sesuai untuk kami menjadikan menonton wayang gambar di panggung itu sebagai kebiasaan. Walau bagaimana pun, ada satu kali saya ke Panggung Arjuna untuk menonton filem!!! Masa tu tayangannya ialah "Anak Buluh Betong", dan makcik (kakak ipar mak) yang nak pergi tengok.  Makcik ajak saya, dan mak tidak tergamak untuk menolak, agaknya.

Satu lagi yang saya ingat tentang Panggung Arjuna ialah apabila musim tengkujuh/banjir ia menjadi "pusat pemulihan banjir" tidak rasmi bagi penduduk-penduduk  kawasan perkampungan di belakang panggung tu! Kawasan perkampungan tu memang pun terletak di kaawasan lembah (di antara pekan Tanah Merah dan Bukit Remah).

 Saya pun tidak tahu bila panggung Arjuna ditutup, tetapi yang pasti sekarang ini Kelantan memang tak ada panggung wayang, cuma saya rasa Panggung Arjuna ditutup apabila bekalan tape VHS (cetak rompak) boleh didapati dengan mudah, dan orang ramai lebih sukan menonton di rumah sahaja....


Comments

  1. Tak sempat merasa panggung di TM lahir pun 2001 😂

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Pasar Tanah Merah

Madrasah Pondok Lama

Putu Halba (& Orang Kelantan)