Sawmill dan Kayu Selinat

Berhadapan dengan Stesen Keretapi Tanah Merah dan rel-rel keretapi ialah sebuah kilang kayu yang kami panggil "Sawmill". Kedudukannya begitu strategik - balak di bawa ke Tanah Merah dengan keretapi. Apabila sampai di stesen, kayu-kayu balak diturunkan terus di hadapan Sawmill.  Kami dulu selalu berjalan kaki  ke pekan melalui "laluan pintas" dengan menyeberangi rel-rel ini dan kami selalu terpaksa berjalan di celah-celah balak yang besar, ada balak-balak yang disusun bertingkat-tingkat yang lebih tinggi daripada kami! Boleh dikatakan setiap waktu kawasan sebelah rel adalah berlecak dan berlopak.

Apabila sudah lebih dewasa baru saya faham kenapa kilang kayu (sawmill) itu terletak di situ dan kenapa sentiasa terdapat kayu-kayu balak di sebelah rel.

Di sawmill itu lah kayu-kayu balak dipotong mengikut saiz-saiz tertentu. Kayu yang susah siap dipotong di punggah naik balik ke gerabak-berabak keretapi yang khas untuk kayu. Dari stesen itu jugalah kayu-kayu yang siap dipotong itu dihantar ke merata tempat di tanah air, mengikut permintaan.

Antara "sisa" daripada sawmill ialah "kayu selinat". Saya baru tahu kayu selinat ini juga dikenali sebagai "kayu reja". Kayu selinat ini ialah bahagian kulit kayu setelah balak dipotong serta  potongan-potongan kayu yang tidak elok. Saya masih ingat ketika belajar tentaang balak dalam subjek Geografi, 2 bahagian yang paling tidak berharga bagi balak ialah bahagian kulit dan bahagian tengah (empulur) balak. Bahagian-bahagian buangan ini lah yang dipanggil "kayu selinat".

Pada 1970an, ketika kebanyakan rumah masih menggunakan dapur kayu, kayu selinat ini dibeli oleh orang ramai untuk dipotong menjadi kayu api. Saya masih ingat mak saya juga pernah beli satu lori kecil (1 tan?) kayu selinat dengan harga enam ringgit. Lori yang hantar kayu-kayu itu "mencurahkan" kayu selinat di hadapan rumah kami. Untuk beberapa minggu berikutnya, mak akan mengergaji kayu-kayu selinat menjadi keratan ssepanjang sehasta (40cm) dan kemudiannya membelah kayu-kayu it menjadi cukup kecil sebagai kayu api. Apabila hujung minggu saya pun terpaksa menolong mak menggergaji dan memotong kayu-kayu selinat. Kayu yang dah siap dipotong disusun di atas rak kayu api yang terletak di bawah rumah. Mak juga sempat memilih kayu yang agak elok, untuk dibuat pintu kawasan berpagar reban ayam kami.

Ada juga orang yang membeli kayu selinat untuk membina pondok (untuk mengaji) atau rumah!! Mereka akan memilih potongan kayu yang agak elok, untuk membuat dinding dan lantai rumah (biasanya di bahagian dapur), dan yang selebihnya digunakan sebagai kayu api.

Sekarang bahagian buangan balak kebanyakannya digunakan untuk memproses Fiberboard. Kebanyakan perabut yang murah yang dijual di pasaran, dibuat dengan menggunakan fiberboard.

Baru-baru ini ada kawan saya beritahu saya yang sekarang kayu selinat masih boleh dibeli. Katanya kayu selinat akan laku di bulan Muharram (selepas 10 Muharram) apabila masyarakat mengadakan majlis "Mengacau Asyura" dan memerlukan kayu selinat sebagai kayu api. Ada juga kawan saya yang membeli kayu selinat untuk membina kandang kambingnya.

Ini gambar kandang kambing (orang Kelantan panggil Gok kambing) kawan saya, yang dibina dengan menggunakan kayu selinat:


Comments

Popular posts from this blog

Pasar Tanah Merah

Madrasah Pondok Lama

Tanah Merah Kawasan Hitam