Bukit Remah

Pada akhir 1969, semasa kami mahu berpindah dari Singapura ke Kelantan, arwah mak meminta barang-barang kami dihantar oleh KTM (Keretapi Tanah Melayu) dari stesen Tanjung Pagar (Singapura)  ke stesen Tanah Merah. Orang yang bertugas di stesen Tangjung Pagar berkeras mengatakan tiada stesen bernama "Tanah Merah" dalam senarai stesen-stesen KTM untuk perkhidmatan Keretapi Mel. Jenuh arwah mak bertekak dengan mereka. Akhirnya arwah mak akur, dan setuju untuk barang-barang kami dihantar ke Pasir Mas.

Apabila kami pulang ke Kelantan baru kami tahu stesen Tanah Merah adalah "stesen baru" untuk Keretapi Mel. Seblum itu ia hanya lah sebuah stesen untuk perkhimatan keretapi tempatan sahaja ("Local car"). Sebelum itu ia dikenali sebagai stesen "Bukit Remah" dan tidak termasuk dalam senarai stesen Keretapi Mel.

Saya bertanya arwah mak, kenapa "Bukit Remah"? Mak kata Bukit Remah itu adalah nama bukit (yang tak berapa tinggi pun) yang terletak di antara bandar Tanah Merah dan Sungai Kelantan.

Semasa saya berumur 10 tahun, saya pernah mengikut rakan-rakan mendaki Bukit Remah. Bagi saya Bukit Remah tu tinggi sangat dah, dan saya merasakan satu "kejayaan" apabila dapat memanjat bukit tersebut ke puncaknya. Di "puncak" bukit ketika itu terdapat sebuat wakaf yang usang. Sebenarnya Bukit Remah telah diusahakan orang tempatan dengan tanaman pokok getah. Saya tidak pasti siapa tuan punya tanaman getah itu, tetapi pastinya wakaf itu merupakan tempat penoreh getah berehat selepas menoreh dan sebelum mongutip susu getah.

Ketika di puncak, kami suka mengambil sedikit susu getah yang maasih cair itu dan meletakkannya di atas tapak tangan dalam bentuk bulat seperti lempeng. Kami biarkan susu getah itu kering dan membeku sedikit di tapak tangan. Kami kemudianya membuat lubang di tengah-tengah., kemudian menggentelnya mengikut arah ke luar kawasan bulatan. Hasilnya ialah bentuk yang seperti getah pengikat. Kami akan rasa seronok sangat kerana merasakan kami telah menbuat "getah pengikat" kami sendiri!!

Comments

Popular posts from this blog

Pasar Tanah Merah

Madrasah Pondok Lama

Tanah Merah Kawasan Hitam