Tepung Bokor Ubi Kayu

Ubi kayu memberi erti berlainan kepada orang yang berlainan. Kalau mak saya masih hidup, setiap kali kami rebus ubi, atau buat kuih menggunakan ubi kayu, mak akan beritahu saya bahawa di zaman perang, ketika Jepun menjajah, rakyat sentiasa kekurangan beras ,dan ubi kayu lah menjadi makanan ruji orang kampung. Selain daripada memakan ubi rebus, orang kampung cuba mempelbagaikan masakan yang menggunakan ubi kayu untuk mengurangkan jemu memakan ubi kayu.

Antara kuih muih ubi kayu yang unik kepada orang Kelantan ialah putu halba, "tonyoh ubi" dan tepung bokor.

 Sebenrnya bagi orang Kelantan dulu-dulu (1970an), mereka menggunakan istilah "tepung" untuk merujuk kepada kuih. Kalau makcik atau mak saya menyebut "Pegi beli tepung untuk berbuka", maknanya pergi beli kuih-muih untuk berbuka! Agaknya istilah tepung digunakan juga untuk merujuk kepada kuih-muih kerana kebanyakan kuih memang menggunakan tepung, baik tepung gandum, tepung beras, mahupun tepung ubi.  "Bokor" pula adalah merujuk kepada "talam" dalam percakapan orang Kelantan, jadi "tepung bokor" bermakna "kuih talam".

Kalau di pantai barat semenanjung, "kuih talam' ada beberapa jenis, contohnya talam beras, talam ubi, talam sagu dan talam jagung, di Kelantan kalau disebut "tepung bokor" biasanya ia adalah talam ubi (walaupun memang ada "tepung bokor beras").

Jadi kira tepung bokor ialah kuih talam ubi, apa istimewanya? Haaa.... ada bezanya.... Kalau kuih talam biasanya dikukus dalam talam, dan dipotong apabila hendak dihidang atau dimakan, tepung bokor ini jauh lebih lembik.

Ada orang mengukus tepung bokor ubi ni macam mengukus kuih talam ubi, tapi cara lain yang agak popular (kerana lebih mudah) ialah dengan memasak bancuhan ubi yang sudah diparut dan dicampur dengan gula itu dalam periuk, serta dikacau ketika memasaknya, seperti dalam gambar ini:







Juga, kalau untuk kuih talam ubi, lapisan ubi (yang sudah dimaniskan dengan gula atau gula melaka) dan lapisan "santan" (yang sudah dicampur sedikit tepung beras dan garam) dikukus bersama-sama, untuk tepung bokor, hanya bahagian ubi saja di masak dahulu. Bahagian santan di masak berasingan, dan dihidangkan bersama-sama dengan bahagian ubi ketika hendak makan! Boleh lah bayangkan ianya ala-ala custard sauce yang dimakan dengan puding roti, atau pun "Kepala santan " yang dimakan dengan kuih "Lompat Tikam" (Oh, ini satu lagi kuih Kelantan! )

Setelah ia masak, ia dituang ke dalam bokor/talam dan disejukkan.


Oleh kerana adunan ini jauh lebih lembik daripada kuih talam biasa, ianya tidak boleh dipotong, tetapi dikaut dengan sudu/senduk apabila hendak makan.


Gabungan bahagian ubi dan bahagian santan yang dihidangkan dan sedia untuk dimakan kelihatan seperti ini:



Kalau orang Kelantan yang sukakan tepung bokor lihat gambar di atas, tentu mereka akan kecur air liur, hahahaha!!!

Saya ada seorang kawan yang memang suka dan pandai buat tepung bokor. Kalau ada perjumpaan di rumah beliau, tidak sah kalau tidak dihidangkan dengan kuih ini. Gambar-gambar di atas adalah daripada kawan itu dan juga sorang lagi kawan yang selalu dapat makan kuihnya.


Comments

Popular posts from this blog

Pasar Tanah Merah

Madrasah Pondok Lama

Putu Halba (& Orang Kelantan)